Rokok Haram Di Selangor

5 Ramahdan, saya pulang kekampung halaman di Selangor untuk sama-sama saya meraikan ramahdan serta berbuka bersama mak dan abah saya yang teramat merindui kepulangan saya ke rumah.

Selepas saya selesai berbuka saya terlupa yang saya tidak lagi membeli rokok! selesai sahaja berbuka saya mengambil kunci motor dan terus ke kedai untuk membeli rokok.

Sampai sahaja di kedai, saya meminta penjual untuk memberikan saya rokok, tapi dia bertanya kepada saya. Adakah anda tahu rokok sudah haram di Selangor? Saya berkata dekat dia, saya tidak tahu menahu tentang rokok telah haram di Selangor, kerana sudah hampir 4 bulan saya tidak pulang ke Selangor. Penjual itu berkata, “Maaf, kami tidak lagi menjual rokok di kedai kami”. WTF!

Kalau betullah rokok telah diharamkan oleh kerajaan Selangor, kenapa masih terdapat kilang membuat arak? Club yang masih dibuka? kenapa tidak tutup kesemuanya yang “haram'” dimata mereka? Kerana takut sumber kewangan terjejas? kerana takut pilihan raya akan datang?

P/S : Kalau tak nak di makan atau bergaul dengan benda-benda yang haram, baik duduk rumah diam-diam.

Saya lampirkan sumber yang saya dapat :-

Khutbah Jumaat Bacaan 18 Mac 2011

sumber: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Masa kini, merokok masih menjadi tabiat sebahagian masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila masyarakat mudah terpedaya dengan budaya asing terutamanya yang dipaparkan melalui media massa. Di samping ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru tabiat buruk adalah sesuatu yang kian menguasai kaum muslimin di zaman ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Fatwa negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam kerana ia mendatangkan kemudharatan.

Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.

 

Manakala Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir dan Al-Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya haram kerana ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi nafkah kepada keluarganya.

 

Bahkan, kebanyakan ulama-ulama semasa seperti Dr. Yusuf Al-Qardhawi dan Dr. Abdul Jalil Shalabi bersepakat menyatakan bahawa merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.

 

Jika kita merujuk kepada fatwa-fatwa tersebut dan pandangan para ulama seluruh dunia, bersepakat bahawa merokok itu adalah haram.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih sepuluh ribu kematian setahun. Tiga puluh peratus daripadanya disebabkan oleh sepuluh jenis kanser seperti kanser paru-paru, kanser mulut, kanser tekak, kanser pundi kencing, kerosakan buah pinggang dan kanser perut. Lima puluh peratus lagi kematian berpunca dari sakit jantung dan strok.

 

Bahkan menurut kajian, lebih seratus ribu (100,000) perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan pelbagai penyakit kronik. Lebih penting lagi, negara mengalami kerugian kira-kira dua puluh bilion ringgit setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

 

Hakikatnya, merokok merupakan amalan yang amat berbahaya dan memudharatkan diri manusia. Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih empat ribu bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Ini jelas menunjukkan bahawa setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut.

 

Hasil kajian yang telah dilakukan menyatakan di dalam asap rokok terkandung di dalamnya bahan radio aktif dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat, bahan untuk pencuci lantai, ubat gegat, racun serangga, racun anai-anai, gas beracun yang digunakan “di  kamar gas maut” bagi pesalah yang menjalani hukuman mati dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun yang paling bahaya adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Akibat daripada bahaya asap rokok yang dihidu bukan sahaja merbahaya kepada diri perokok sendiri malah asap rokok menyebabkan kesan yang amat dahsyat kepada orang lain. Contohnya terhadap isteri perokok. Selain akan mendapat natijah buruk yang sama seperti perokok, racun rokok juga akan mengurangkan kesuburan, lebih terdedah kepada kanser payu dara, putus haid dan kesan buruk kepada bayi di dalam kandungan wanita yang hamil, seperti kelahiran bayi yang kurang berat badan dan tidak cukup bulan. Manakala kesan asap rokok terhadap kanak-kanak pula ialah mereka lebih mudah mendapat lelah, jangkitan paru-paru dan mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak.

 

Fakta-fakta tersebut jelas membuktikan bahawa rokok merupakan “pembunuh senyap” yang meragut sekian banyak jiwa manusia dan memusnahkan keharmonian hidup keluarga, masyarakat dan negara.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Islam pasti menolak sebarang amalan yang boleh merosakkan tubuh dan membahayakan nyawa manusia. Justeru, umat Islam wajib meninggalkan amalan merokok berdasarkan kepada beberapa alasan berikut. Di antaranya ialah;

 

–  Merokok boleh membahayakan kesihatan dan Al-Quran melarang manusia membinasakan dirinya sendiri.

Firman Allah SWT  di dalam surah Al-Baqarah ayat 195:

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana  (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik”.

 

–  Merokok membazirkan wang.

Islam melarang umatnya melakukan pembaziran sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah Al-Israk ayat 26 – 27:

Bermaksud: “Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.

 

–  Perokok menyedut asap yang tidak memberikan sebarang khasiat kepadanya.

Ini samalah seperti perbuatan ahli neraka yang memakan pohon berduri seperti yang dinyatakan di dalam Firman Allah SWT surah Al-Ghasyiah ayat 6-7:

Maksudnya: “Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain daripada pohon-pohon yang berduri. Yang tidak menggemukkan dan tidak pula dapat menghilangkan kelaparan”.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Jadikanlah hari ini sebagai hari yang baru dan nafas yang segar tanpa rokok. Semoga niat, keazaman dan usaha kita akan menjadi contoh dan ikutan terhadap anak-anak kita dan mendapat perhatian Allah SWT seterusnya doa dipanjatkan agar Allah SWT menguatkan iman dan semangat kita melawan ketagihan merokok yang merosakkan itu.

 

Pelbagai pihak perlu menggembelingkan tenaga untuk menghapuskan amalan merokok ini daripada terus merebak menjadi wabak penyakit masyarakat. Tindakan perlu dilakukan terhadap industri tembakau yang membahayakan kesihatan dan mencemarkan alam sekitar.

 

Ingatlah, bahawa kita sedang hidup di dalam kerajaan Allah SWT yang memiliki langit dan bumi dan di antara keduanya. Seluruh anggota tubuh yang kita gunakan, nyawa yang berada dalam jasad, kesihatan yang kita nikmati sehingga kita dapat hidup pada hari ini adalah milik Allah SWT. Bahkan kesemuanya itu adalah nikmat yang merupakan amanah Allah yang akan dipertanggungjawabkan nanti ketika di akhirat kelak.

 

“Hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji), mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya”. (Ali ‘Imran: 104).

 

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

 

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s